Oleh pada 30 Apr 2024 kategori

Duduk di dalam negara majmuk seperti Malaysia, yang meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan rasmi - menjadikan kepercayaan ini sebagai sasaran mudah pihak-pihak tertentu.

Pihak tertentu khususnya media serta pengguna media sosial kerap kali memfokuskan kritikan ke atas beberapa aspek kepercayaan masyarakat Islam di Malaysia, ekoran kuatnya kumpulan majoriti berpegang kepada pegangan sebegini. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada beberapa amalan yang kerap dikritik, kerana dikatakan sudah tidak lagi relevan dalam dunia menuju abad ke 22 - didakwa perlu dirombak, dipinda serta mungkin dimansuh terus bagi menjaga keharmonian kita bersama. 

Berikut adalah lima yang sering dijadikan bahan ketawa, sehinggakan yang ketawa kadangkala tak sedar mereka sebenarnya sudah menghina.

1. Poligami

lelaki poligami amalan

Ini apa yang dikatakan masyarakat barat, sebagai the elephant in the room. Amalan berpoligami merupakan antara amalan yang kerap menjadi sebutan, di kalangan orang Islam di Malaysia sehingga mengundang cemuhan orang lain - termasuklah segelintir masyarakat Islam sendiri.

Semua kritikan ke atas amalan poligami yang membenarkan seorang lelaki menikahi sehingga 4 orang wanita serentak, cenderung mengatakan amalan ini kejam kepada wanita. 

Realitinya, poligami bukan dimulakan oleh ajaran Islam - tetapi sebenarnya adalah sinambungan daripada masyarakat Arab zaman Rasulullah saw. yang sudah diamalkan; dengan Islam hadir memberikan kekangan atau panduan bagaimana hendak berpoligami dengan baik.

Syarat utama poligami, adalah untuk seorang lelaki mampu berlaku adil kepada setiap isteri. Secara realistik, majoriti lelaki tidak dapat melakukannya dengan Rasulullah saw. sendiri bimbang dia boleh berlaku adil atau tidak ke atas setiap isteri Baginda.

Kenapa poligami diketawakan? Semuanya berpunca daripada tindakan lelaki-lelaki yang tergamak berkahwin dua, tiga atau empat - tetapi akhirnya gagal menjalankan tanggungjawab dia kepada semua isterinya secara saksama.

Untuk diharamkan terus, jelas tidak adil pula kepada wanita - kerana bukan semua wanita tidak mahu dimadukan dan tidak juga semua tidak mahu jadi isteri kedua.

2. Kahwin kerana zina

perkahwinan kerana zina

Ini adalah antara polemik yang cukup sukar diperhalusi, apatah lagi dalam zaman di mana perlakuan seks secara terbuka di antara lelaki dan perempuan, dipromosikan tanpa perlunya ikatan pernikahan.

Media kita yang berarah haluan barat melihat perkara ini sebagai satu benda mudah - sekiranya dua orang sudah bersetuju untuk bersetubuh, kenapa kita perlu menghalang mereka? Kenapa perlu kita nikahkan dulu keduanya?

Pihak yang menentang tidak nampak kenapa Islam mengarahkan atau mewajibkan pasangan yang berzina untuk menikah, kerana bagi mereka perbuatan seks itu sesuatu amalan keperluan biasa manusia. 

Mereka gagal melihat bahawa 'perkahwinan selepas zina' itu merupakan satu tanggungjawab yang berat dan perlu dipikul pasangan, yang memilih untuk sama-sama berzina.

3. Isu Muslim dengan anjing

polemik islam dengan anjing

Banyak pihak mentertawakan masyarakat Islam yang memilih untuk sensitif dengan anjing. Orang yang takut dengan anjing dikatakan tidak rasional. 

Memang tidak dapat dinafikan, di kalangan masyarakat Islam sendiri ada berlaku kekeliruan berkaitan isu ini namun rangkanya jelas - anjing adalah najis dalam keadaan haiwan itu basah, perlu disertu (dicuci dengan air tanah) mana-mana bahagian badan dan permukaan yang terkena dengannya.

Orang yang mentertawakan perkara ini gagal melihat aspek tidak ada individu Muslim yang nak setiap hari dia perlu bermandi dengan air tanah, hanya kerana membela anjing. Susah tu! Apatah lagi kalau anjing tu duduk dalam rumah seperti dibuat penggemar-penggemar anjing beragama lain.

Setiap kali penulis melihat video pembela anjing membiarkan anjing mereka menjilat muka tuan mereka sehingga ada yang sanggup berkongsi makanan dengan anjing yang dibela, penulis akan membayangkan susahnya kalau Muslim bela anjing macam bukan Muslim membelanya. 

Rumah perlu dicuci kerap. Perlu mandi selalu. Sepanjang hari, nak kena mandi aje kalau anjing yang dibela jenis manja gila. Bela kucing senang...ajak naik ke pangku pun dia tak peduli, sebab kucing hanya akan duduk atas tuannya, bila dia suka.

4. Hudud

hukuman hudud

Isu ini rasanya isu paling sensitif kerana perkara ini melibatkan perundangan negara. Bagaimanapun pengkritik atau pihak yang selalu mentertawakan bab ini sebenarnya sering dalam dilema.

Kita sebagai sebuah masyarakat sering mempertikaikan keberkesanan undang-undang yang kita pakai. Kenapa jenayah masih berleluasa? Kenapa pencuri masih berani mencuri dan kenapa perompak, perasuah, penyakau dan sebagainya seakan kebal daripada disentuh penguatkuasa?

Kita tidak ada jawapannya. Realitinya, hudud juga bukan jawapannya selagi mana masyarakat kita masih dalam pemikiran sekarang. 

Tetapi hudud harus dilihat sebagai satu konteks undang-undang pencegahan, bukanlah undang-undang bersifat menghukum. Undang-undang harus efektif mencegah dan mengubati, bukan hanya bijak menghakimi dan menghukumi.

Seorang pencuri yang didapati bersalah akan dipotong tangannya atau didenda, dipenjarakan, mengikut nilai curiannya. Mana yang anda rasakan lebih berkesan untuk menaikkan kadar pencegahan?

5. Tutup aurat

aurat isu masyarakat malaysia

Duduk dalam negara beriklim khatulistiwa, dengan cuaca panas berbahang dan lembap, pasti ramai orang bukan Muslim merasa pelik kenapa individu Muslim terus mengenakan pakaian yang jelas tidak sesuai dengan iklim kita.

Yang lelaki terus mengenakan seluar panjang, yang perempuan pula berselubung menutupi kepala. Tidakkah lebih selesa sekiranya Muslim memakai seluar pendek dan wanitanya memakai pakaian yang lebih mendedahkan kulit mereka, biar angin menyapu tubuh sepoi-sepoi bahasa?

Memang secara praktikalnya akan kelihatan begitu. 

Tetapi seorang Muslim yang baik melihat corak pemakaian sebegitu sebenarnya lebih mendedahkan kita kepada pelbagai perkara buruk yang ada, seperti mata-mata merayap. Setakat bahang matahari, apa lah sangat kesannya.

Sudah menjadi tanggungjawab seorang Muslim khususnya wanita, untuk tidak menjadi fokus mata orang lain, menarik perhatian orang kepada batang tubuhnya. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)